Pengajaran dalam Hidup

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....

sekadar perkongsian di pagi hari,

sebenarnya masih saja aku bergelut dengan tugasan

tiba-tiba sahaja aku terfikirkan masa lampau, yang tidak akan diundurkan lagi...

Bagaimana, ayat-ayat al-Quran sekadar persinggahan, dan aku pula manusia yang tidak pecus dengan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepadaku. Sering sahaja kefikiran, apa yang telah berlaku? Rasa sesal masih menghantui diri. Betapa aku bermain-main dengan tanggungjawabku. Aku leka dan lalai.

Orang bilang kalau mahu mengajak kawan ke arah kebaikan, ya sudah, jangan hanyut. Jadilah seperti ikan. Isinya masih lemak tawar meski sudah lama hidup dalam air masin. Tapi aku gagal. Aku sangka, dalam dunia aku, semua akan jadi indah. Semua akan berjalan mengikut perencanaan aku. Mad'u ku akan berubah ke arah lebih baik. Dan aku juga terfikir bahawa tidak salah aku melakukan tipu muslihat, asalkan orang yang aku sayangi akan berubah menjadi lebih baik. Percaturan aku silap. Percaturan Allah tak mampu aku lawan.

Aku on-off dalam dakwah. Mengajak ke arah kebaikan sekadar berbasa-basi. Yang lainnya lebih kepada mengajak kepada kelaghaan. Seharusnya akulah yang patut mengajak kawan-kawanku berjemaah bersama-sama. Akulah yang menghidupkan suasana berbudaya al-Quran, akulah yang senantiasa memberi kata-kata nasihat. Turned out I did nothing. Sedang aku sendiri sedar, betapa sudah diberi amaran, sekiranya sesuatu kawasan itu tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, maka tunggulah perhitungan Allah. Ayat-ayat yang dibaca tidak meresap langsung ke dalam hati.

Orang bilang, dakwah itu harus ila Allah, bukan ila enta atau enti.

Serasanya, waktu aku tersungkur itu, aku tidak ikhlas. Tidak ikhlas. Sepertimana sudah Mustafa Masyhur katakan, niatku menyimpang. Masuk sekadar biasa-biasa. Padahal pengisian yang diberi semuanya sangat menggugah. Cuma aku yang tak tergugahkan. Barangkali aku seronok dengan duniaku. Aku khawatir kehilangan teman sekiranya aku mula memberi nasihat. Aku lebih sayangkan keduniaan daripada untung nasib teman-temanku di akhirat.

Untuk kesekian kalinya, aku mulai bangkit perlahan-lahan. Rasa sesal itu masih ada. Kita semua tahu tujuan kita diciptakan di dunia ini, dan kita tahu apa akibatnya apabila kita berseronok-seronok dalam hidup ini. Kita tahu apa akibatnya jika kita beramal tanpa ruh, sekadar melunasi hutang wajib. Ah, asal aku puasa. Ah, asal aku solat. Ah, asal aku keluarkan zakat. Ah, asal aku mengaji al-Quran walau sedikit. Namun jauh di sudut hati, kita tahu itu semua tidak cukup. Kita menginginkan sesuatu yang sangat besar di sisi Allah. dan sekadar beribadah sepertimana yang disebutkan di atas, tidak akan memadai. Kita tahu bahawa boleh jadi di akhirat nanti, kita mungkin akan jadi asbab untuk ke neraka. Kerana apa? Kerana kita tahu betapa besarnya nilai kebajikan itu, betapa besarnya nilai saling menasihati atas landasan kebaikan, tetapi kita tidak mempedulikannya. Kita fikir mati itu masih jauh. Kita fikir Allah akan sentiasa mengampuni kita selama mana kita mengucapkan syahadah, dan kita fikir harga ke syurga itu murah sahaja.

Sahabat dahulu, pabila mendengarkan kalimat syurga, bercucuran air mata mereka kerana terlalu rindu. Aku pula mendengarkan kalimat keramat itu seperti angin lalu. Aku suka benar menipu. Aku fikir aku sudah berbuat kebaikan. Tanggapanku salah sama sekali. Dan parut ini, parut yang akan aku pegang sampai bila-bila.

Aku tahu aku bukanlah malaikat, khilaf aku ternyata lebih besar daripada mereka yang zahirinya kamu fikir penuh jahiliyah. Meskipun begitu, aku masih berusaha untuk mendapatkan sokongan. Aku tahu aku laksana Sidious, maka aku gagahkan diri berteman dengan mereka-mereka yang mampu menebakkan lubang-lubang keinsafan. Biar aku sedar, bahawa hidup ini, seluruhnya adalah untuk Allah. Biar aku menjadi tajarrud. Dan apa yang dapat aku maknai adalah, persahabatan itu, bukan sekadar sembang waktu bermasalah, malah juga mendoakan sahabat-sahabatmu dari jauh. Mengharapkan agar semua orang yang aku sayang itu, insyaAllah berjirannya kita di syurga kelak. Dan juga aku belajar untuk memaknai, betapa peritnya keikhlasan itu. Ikhlas dengan melepaskan mereka, kerana khuatir lebih banyak kerosakan yang akan terjadi sekiranya aku memilih untuk kekal hidup seperti biasa.

Sungguh, orang bilang. Ada sahaja ujian yang akan berlaku tatkala kita sudah mula membulatkan tekad untuk berubah. Malah Allah akan tunjukkan kepada kita siapa yang harus dipercayai dan siapa yang tidak. Dan siapa yang harus engkau utamakan dalam hidup demi kesenangan mereka di akhirat. Dan apa sebenarnya yang bersarang di hatimu saat bertemanan dengan mereka. Ujian ini menjadikan aku lebih banyak termenung, memikirkan apakah sudah ikhlas aku ini? Apakah cukup atau betul perkara yang aku lakukan ini? Semuanya kucar-kacir di sini. Sedang hati seorang mukmin itu harusnya aman kerana beroleh kenyamanan daripada Allah. Hati seorang mukmin itu hidup dalam kenyamanan kerana mereka taat dan ikhlas kepada Allah. Tetapi hati aku kucar-kacir, maka yang harus aku perhatikan ialah hatiku, ikhlas atau tidak, dan juga ibadahku, apakah masih cukup atau tidak.

Sungguh, aku pintakan supaya aku tidak lagi terjerumus dalam dunia itu untuk kedua kalinya. Kerana rasanya perit sekali. Rasa pembalasan kerana tidak menunaikan amanah. Apa gunanya pengisian yang bertalu-talu kalau hati ini masih membeku, mendengarkan kalimat-kalimat syurga sahaja umpama angin dan debu lalu.



Semoga aku, engkau, dan orang-orang yang kita sayangi, bertambah kuat pergantungan kepada Allah. Janganlah hendaknya hati ini cenderung untuk meraih simpati manusia lagi. Janganlah hendak hati kita-kita ini kacau bilau lagi. Semoga aku, engkau, dan orang-orang yang kita sayangi, sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah untuk senantiasa dibantu untuk berzikir dan mengingati Allah. Kerana sesungguhnya manusia itu sifatnya, memang sentiasa lemah. Dan tidak ada sandaran yang lebih kuat, melainkan Allah.

Teman, sentiasa ingatkan aku andai aku terleka. Aku tidak mahu menjadi seperti dulu.


Comments