The Viet Post


Salam alaik. Pada bulan Mei 2014 yang lalu ana berkesempatan ke Vietnam, negara orang. Adalah pertama kali ana ke luar negara, dan juga pertama kali menaiki kapal terbang. Justeru itu ana agak teruja lebih. Ada beberapa perkara menarik yang ingin ana kongsikan sepanjang empat hari ana di sana.

1. Orang Vietnam rata ratanya sangat menjaga pemakanan. Mereka tidak kisah makan di mana (mungkin yang ana lihat ini golongan pertengahan dan miskin) tetapi mereka makan sekadar untuk menguatkan tubuh. 

*agak tersipu malu kerana ana hidup untuk makan*

Mereka mahu kekal langsing dan bebas bergerak. Rumah rumah mereka juga dibina kecil, sesuai dengan tubuh mereka. Inilah yang diperlukan bagi menjadi daie, menjaga pemakanan supaya boleh bergerak cergas melakukan kerja seharian.

2. Mereka bekerja bersungguh-sungguh. Kesungguhan mereka bukan setakat berusaha menawar harga sehingga murah dan diterima pembeli, malah keupayaan mereka dalam menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sangat mengagumkan ana. Itu tidak termasuk mereka yang tidak mempunyai gerai sendiri yang mendukung barang barang jualan seperti kipas dompet penanda buku yang semestinya berat dengan berjalan kaki seharian, bermula dari pagi hingga ke malam. Kalau ana,  ana dah lama tidur malamnya.

3. Mereka tidak banyak beralasan, tetapi  terus bekerja. Ana ada lihat seorang peniaga perempuan di salah satu gerai yang kudung tangannya, mungkin kerana sisa sisa racun Agent Orange yang digunakan oleh Amerika sewaktu Vietnam berperang dahulu. Dia tidak sedikit pun cuba untuk meraih simpati dengan menunjukkan kecacatannya, sebaliknya.

4. Mereka baru saja bangkit daripada peperangan dengan US. Namun berbekalkan tekad yang kuat, bandaraya Ho Chi Minh kembali sesak dengan ramainya pencari rezeki. Ini diberitahu oleh tour guide kami sendiri sepanjang berada di dalam bas. Tekad yang kuat ini tanpa mengira untung yang sedikit mengingatkan ana tentang kesungguhan rakyat Indonesia juga dalam mencari rezeki seperti yang terpamer dalam sinetron.

5. Mereka mempelbagaikan kreativiti dalam menambah tarikan menarik untuk sektor pelancongan. di Dalat ada koleksi bungaan saling mirip seperti Belanda. Juga ada surfing di atas pasir seperti Lancelin di Perth.

6. Jurang antara kaya dan miskin agak ketara. Rakyat yang bergaji sederhana masih selamba makan di gerai tepi jalan beralaskan kayu. Di shopping mall, hanya kami yang masuk, dan ada beberapa orang yang kelihatannya kaya dari pakaian mereka yang singgah masuk membeli di mall.

7. Tua tua pun masih bekerja. Sewaktu menelusuri sungai Mekong, pendayung sampan kami merupakan seorang makcik tua yang masih gigih mendayung kami yang membesar dengan jayanya. Sambil itu, ditunjukkan kepada kami rumahnya yang berada di tepi sungai Mekong. Kena 10 trip baru boleh dapat gaji yang lumayan. Persetankan sakit tangan yang dialami. Aduh, sedih sekali!

Kesimpulannya ana belajar banyak daripada Vietnam. Apabila sudah terbiasa hidup susah, mereka tidak akan meminta di tepi jalan sebaliknya berusaha sendiri. Ya benar Vietnam juga ada peminta sedekah namun ana lebih tertarik dengan peniaga kain yang berusaha mendalami Bahasa Melayu yang mudah untuk bertutur dengan pelanggan.

Di mana ada kemahuan, di situ ada highway!

Comments