Katibah Yang Menggetarkan

Alkisahnya...saya di sini..di rumah salah seorang akhawat. Ada banyak perkara yang masih tidak saya mengerti. Sudah dua katibah saya hadiri dan dua duanya punya efek air mata. Dalam katibah yang pertama, mereka beresak tangis dalam menyampaikan peringatan. Bukan sahaja itu, sehebat manapun amal fardi mereka, mereka masih menyatakan mereka bukan golongan muqarrabin, yakni yang dekat dengan Allah, iaitu contohnya Ali Abi Talib yang dicabut panah dari kakinya sewaktu solat. Sungguh kekhusyukan dan keasyikan solat Ali itu sehingga dia terlupakan dan tidak merasakan sakitnya tusukan panah itu. Tatkala doa Mathurat dibaca, tangis itu meninggi, aku tidak pula ingat nama ukhti yang mengetuai mathurat itu namun apa yang aku pasti, mathurat Subuh kubraku buat kali pertama itu sungguh sayu dan menyiat aku, apakah aku hidup ini sudah lengkap kerja kerja dakwah kerana Allah, apakah Allah redha perbuatan aku yang tidak menyumbang sepicing pun untuk Islam. Belum dikira lagi semasa menyampaikan taujihat penguat, Dr S menangis hingga memerah hidung dan matanya dikarenakan dakwah Allah itu. Kemudian kak R pula seorang ustazah, penguasaan bahasa Arabnya sungguh bagus. Qiyamku yang sungguh membikin aku mengantuk itu menjadi ketar sedih campur insaf, walau buat seketika kerana tangis kak R waktu membaca surah An Naba. Aku teringat ayat yang menyatakan, lambung mereka jauh dari tempat tidur, dan ayat bila disebut nama Allah hati mereka menggeletar. Itu sungguh saya tidak mengerti, meskipun sepatutnya, saya sebagai orang yang sudah lama berjijak dalam Ikhwan ini, sejak awal 2012 seharusnya sudah cukup faham. Berpelukan dan meneteskan air mata perihal dakwah. Dari tetes tetes air mata itu dapat saya tahu sedikit sebanyak, ujian yang mereka tempuhi dalam rintangan dakwah.

Antara kekhilafan saya di sana adalah saya terlupa hendak mematikan alarm ataupun memasukkan handphone saya ke dalam handbag..makanya waktu Subuh sesudah tazkirah qiyam, alarm Subuh saya waktu 6.30 berbunyi sehinggalah usai solat. Saya sangatlah malu, tidak ada siapa yang memarahi saya, semuanya berlapang dada dan tidak ada teguran berkenaan handphone saya yang berbunyi tidak berhenti itu. Mereka cuma mengambilnya dan cuba menutup alarm, tetapi tidak tahu bagaimana aplikasi alarm saya berfungsi, kemudian saya dengan malu malunya ke hadapan mengambil handphone saya dan meminta maaf. Sarapan pagi usah dicerita, kebersamaan kami pagi itu terasa sungguh hening dan indah, dan waktu itu barulah saya mula menikmati keakraban seperti yang dicoret oleh akhi Salim A Fillah dan juga Imam Hassan al banna. 4 biji kek coklat, red velvet bercheese, manis kek itu sama manisnya dengan ketenangan dalam bergembira pada pagi itu.

dalam katibah yang kedua, saya ke rumah dr salmee, dan menemukan banyak buku ikhwan yang saya hanya mampu tatap di skrin imanshoppe dan laman fb ikhwah akhawat yang lain. contohnya karya aidh qarni, yusuf qardhawy, said hawwa dan yang paling terkesan di hati ialah karya majdi hilali, rakaizud dakwah. saya mendapati, dan kemudiannya beranggapan, setelah melihat lihat rumah dr salmee, bahawa ikhwah akhawat ini berusaha mempunyai rumah besar luas dan kereta besar untuk kegunaan ikhwah akhawat sekalian. kecintaan mereka sungguh tinggi sesama mereka dan sungguh allah yang mengawal hati hati mereka. mereka bangun juga mudah walaupun mereka tidur lewat..bicara soal masalah masyarakat. berbanding saya yang merasakan sangat susahnya mahu tidur dan bangun saya juga lambat 30 minit walaupun saya terjaga lebih awal.



perihal solat pula, apa yang saya ingat ialah ukhti roshida, ukhti ayu, dr salmee dan supersaiya yang saya kerap lihat wajah mereka sewaktu program program induk. saya menyedari bahawa mereka sangat menunggu nunggu waktu solat mereka, sedangkan saya seorang pemudi malah tidak pantas bagi saya untuk melengahkan ketibaan solat. mereka ini, lewat makannya tetapi makan dengan pantas dan habis makan lebih dahulu daripada saya. waktu saya dan yang lain masih mengunyah kek dan sambal udang, mereka sudah berwuduk, ataupun wuduk mereka tidak batal seingat saya, dan menanti di ruang tamu hang dilapangkan menjadi ruang solat. kusyen sofa ditolak ke dalam satu ruang luas yang lain untuk memberi laluan kepada ruang solat yang sungguh luas, cukup untuk 3 saf, kecil sedikit berbanding surau di queensbay. setiap bilik dan ruang punya tirai khusus untuk akhawat. meskipun suami dan anak lelaki dr salmee berada di rumah, namun mereka seolah olah tidak ada, malah selamat benar rasanya.

ada ukhti yang pernah saya berselisih pendapat dengannya perihal aktiviti ikram junior, saya merasakan saya paling layak bicara aktiviti ikram junior kerana saya terbiasa mengajar sekolah rendah, semoga allah ampunkan saya. tetapi ukhti itulah yang mencuba menutup alarm saya tetapi tidak tahu bagaimana hendak menutupnya, malah tidak marah apabila saya baru saja tampil di saf depan dan malah menyerahkan handphone kepada saya. sungguh besar hati hati mereka yang beriman. sungguh sabar mereka.

kemudian untuk tazkirah, disentuh kisah mengenai kak roshida dan kak aina, kak roshida, anaknya lagi sakit, kak aina pula, hilang anaknya, malah ada akhawat yang hilang suami. mereka langsung saja sabar. sungguh teguh keyakinan mereka terhadap allah, malah tidak berputus asa dari rahmat allah. saya hilang seorang ayah namun tidak ada peningkatan iman yang saya lakukan dan itu sungguh memalukan. jika ada apa apa terjadi khususnya kepada keluarga saya ataupun siapa siapa yang saya sayang, bukan setakat risau malah gugur air mata saya.


Comments