Syiah vs Sunni

Tak tahu entah di mana silapnya. Orang Syiah lebih terkehadapan bab Islam kalau hendak dibandingkan dengan Sunni.

Kita tahu akidah kita benar, dan sekalipun, sahabat-sahabat Nabi s.a.w. itu juga ada kekurangan seperti kita, tetapi itu bukan alasan untuk kita memusuhi mereka, melaknat atau mengkafirkan mereka kita terima seadanya atas dasar ukhwah, namun, mengapa kita masih terkebelakang dalam Islam?

Kenapakah Barat mengenal Islam melalui Iran dan teknologi nuklearnya? Kenapa tidak umat Islam yang lain?

Kenapa majoriti yang ditindas di India, yakni yang berkonflik dengan Tamil Tiger, dan yang dihimpit iaitu Kashmir, yang merana di Narathiwat di selatan Thailand, yang berjuang untuk pemisahan daerah Mindanao, wilayah Islam di Filipina tidak pernah kunjung selesai, Gerakan Acheh Merdeka yang selamanya terbelenggu dengan pemerintah Indonesia, yang ditindas kerajaan junta Myanmar yakni Rohingya, di Perancis, Sweden, Belanda, Denmark adalah Sunni? Apakah lemah benar kita ini?


Terdapat segelintir manusia yang menduduki kawasan orang agama menyempitkan konsep ilmu kepada ilmu fardhu ain, ilmu agama, nahu sorof, balaghah, pengajian bahasa Arab, pengajian Fiqh, dan pengajian yang lebih berkiblatkan ilmu Barat seperti Biologi, Fizik, Kimia ditolak ke tepi atas alasan ilmu dunia. Kenapa begitu sempit sebegitu rupa? Ilmu itu luas, seimbangkan keduanya. Jangan asal bicara mukjizat dan khasiat makanan sunnah sahaja, tetapi jalankanlah ilmu sains ke atas makanan tersebut. Jangan asal bicara khasiat, namun ceritakanlah bahan kimia apa yang terkandung di dalamnya dan bagaimana bahan tersebut bertindak menyihatkan kita dengan memakan makanan sunnah tersebut. Ini aku petik dari kata-kata Dr Danial Zainal Abidin. Sudah lupa bila, barangkali 3 tahun lepas, sewaktu ayah masih ada.

Ilmu saintifik kita sangat lemah. Semua ilmu kita katakan originated from the kuffar, berasal dari orang Kafir. Tetapi yang anehnya kita banggakan cendekiawan ilmuwan Islam terdahulu yang berjaya dalam lapangan Sains dan Matematik, contohnya Avicenna (Ibn Sina), Averrous (Ibn Rushd), Al Jabr, Ibn Hayyan, Al Khawarizmi, Ibn Nafis....

Tahukah kita semua, ilmuwan Islam juga ada mengadaptasi ilmu dari Greek dan Rom malah melakukan pembaikan terhadap ilmu tersebut. Contohnya Ibn Nafis memperbetulkan teori yang dikemukakan Galen mengenai darah dalam badan yang bergerak dalam ebb turun naik. Ilmuwan dahulu bukan sahaja belajar malah membaik pulih. Sudahnya kita pula, ilmu duniawi itu ilmu orang kafir, tak usahlah dipelajari sangat, ini mengaji kitab lebih utama.

Aku tak benci pendahaga ilmu penadah kitab, aku cuma benci dengan stereotaip yang terlahir. Yang mengutamakan ilmu fiqh dari ilmu duniawi. Ya ilmu ukhrawi lebih utama, tetapi tidaklah stereotaip begitu.

Aku tahu kita harus zuhud, tetapi apakah boleh sehingga kezuhudan itu membunuh kita dari membangunkan ekonomi kita sendiri? Di mana majoriti Islam Sunni kita dalam bidang profesional? Takkan Syiah yang baru dikenalpasti 1000 orang itu sahaja yang menduduki bidang profesional? Mereka bergiat aktif dalam politik, perniagaan, dan pelbagai bidang lain. Aku cuma nyatakan bidang yang aku ada nampak mereka bergiat aktif.

Kalau ada apa-apa tulisan berkaitan khasiat itu ini, kita main copy paste, bukan nak kaji. Habis seketul-seketul kena tipu hidup-hidup contohnya macam air ECPI tu. Habis. Bodoh benar kita. Sudahlah ilmu sains tak mahu kaji, pulak tu tak mahu cari ilmu yang valid, yang terbukti kesahihan.

Semua main copy paste dari Facebook dan Yahoo Mail. Contoh macam kes Pikachu yang bermaksud Jadilah Yahudi, Saya Yahudi, dan perkataan Salam sebenarnya singkatan Avde Khokavde yang berasal dari perkataan Yahudi, suara binatang dari perut bumi, penjaga Masjidil Haram. Setakat inikah ilmu kita? Main sebar tapi tak selidik kesahihan? Bukan hendak mengkaji dan mengembara ilmu-ilmu yang berat tetapi minda berlegar dalam lingkungan Kiamat sudah hendak dekat dan perbanyakkan amal sendiri. Ini mempromosikan individualistik namanya. Tak ajak orang buat baik, kita amal seorang-seroang dah dikira cukup.

Kenapa orang Syiah yang aku lihat semuanya post benda yang valid, mereka baca sumber yang sahih bukan sekadar ikut Facebook. Kenapa orang Sunni tidak begitu? Kenapa mereka lebih bersemangat untuk Islam?

Ya, mungkin jawapan kita mereka sekadar hendak bertaqiyyah. Ya biarkan mereka bertaqiyyah. Tetapi apakah kita tidak boleh melakukan lebih baik dari itu? Kita cakna dengan isu semasa seikhlas hati, bukan hendak berpura-pura?

Kita kaji sirah Nabi dan sahabat, bukan main tahu sekadar yang am. Khalifah keberapa, sahabat yang pertama memeluk Islam, bukan setakat itu, tapi lebih dari itu. Daripada sahabat itu kita ambil iktibar, kita akui kelemahan sahabat, seperti yang diungkapkan oleh Salim A Fillah dalam karyanya Dalam Dekapan Ukhwah. Namun kita menolak sikap ekstremis untuk menafikan kelemahan tersebut ataupun terlalu berkeras sehingga melaknat sahabat. Jika Nabi tidak menunjukkan contoh sedemikian, jangan pula kita terlebih sudu dari kuah. Jangan.


Kalian boleh katakan aku suka bising-bising isu ini. Dan aku tak menyumbang apa sangat pun kepada Islam sebab aku tukang bising tukang komplen tukang kritik. Kalian boleh bilang aku sesat. Sebab orang Syiah mengkaji teori dan naik turun ekonomi tetapi orang Sunni kebanyakannya berkisar tentang isu kepartian dan hukum hudud.

Tolonglah. Kita hendak bina negara. Apakah dalam sesebuah negara itu cuma ada perundangan hudud? Bagaimana untuk mencerahkan hudud? Apa pula sistem ekonomi dan politik yang hendak kita jana? Bagaimana kita merekrut orang untuk bergiat dalam bidang politik? Jika seseorang yang digelar ulama itu kita cadangkan menyertai politik, sejauh dan sedalam manakah ilmunya mengenai politik dan jatuh bangun politik dunia? Tahukah dia Robert Mugabe, Fidel Castro, Mao Zhe Dong, Yulia Tymoshenko? Jangan setakat kenal pemimpin dunia Arab sahaja. Ada kalanya, pemimpin yang bukan Islam, lebih keras memperjuangkan kemanusiaan berbanding pemimpin yang Islam. Walhal semua itu termaktub dalam Islam dan sepatutnya kitalah yang lebih gigih, mengapa mereka yang lebih? Kenapa Kuwait rela bekerjasama dengan Amerika sewaktu perang ke atas Iraq? Kenapa Putera Arab Saudi boleh berjoli selepas hari graduasi di Disneyland Eropah selama seminggu? Kenapa Fidel Castro lebih rela ekonomi negaranya membangun perlahan asal tidak melarat penduduknya? Kenapa Chavez yang lebih berani melawan Israel? Kenapa Castro lebih berani menyatakan Israel pengecut kerana membedil orang awam yang bersenjatakan batu dengan senjata kimia dalam buku biografinya My Life?


Kenapa manifesto politik orang liberal dan orang Syiah lebih sistematik semasa PRU lalu? Kenapa manifesto yang satu lagi cumalah video hudud dan replika cincin Rosmah, Sukhoi dan Scorpene yang dibentuk dari bendera sahaja, Ironman, Green Lantern sahaja?

Kenapa?

Sampai bila?

Comments