Kerancakan Berbisnes Barakah Di Bulan Barakah Dan Mereka Yang Merajuk

Baca. Dan terasa hendak marah. Eh silap sudah marah.

Perihal konsert zikir terapi harga RM200++. Kalau early bird dikurang sedikit.
Perihal talaqqi Surah Al Fatihah beryuran RM200++. Buat di tempat enak-enak.

Dari dua perkara di atas, macam lah orang miskin, gelandangan di tepi jalan tak pernah tersentuh atau terusik hati nak pergi konsert zikir.

Teringat kisah di zaman rasul. Pengikut-pengikut yang miskin diminta dibuang oleh pembesar Quraisy, jika mahu pembesar Quraisy memeluk Islam. Islam tidak memilih status pengikut, siapa yang hendak beriman. Siapa rasa terbuka hendak masuk Islam, masuklah. Tak ada syarat kekayaan harta bergedang-gedang bagai. Namun hari ini kita lihat, betapa agama itu dieksklusifkan untuk orang kaya. 

Jika begitu, kita biarkan sajalah orang miskin baca Al Fatihah dengan tajwid yang berterabur tungging terbalik, kerana mereka tidak punya cukup wang untuk bertalaqqi.

Jika begitu, kita biarkan sajalah orang miskin tidak reti berzikir malah tak hafal zikir harian, sebab orang miskin tidak punya cukup wang untuk berkonsert zikir terapi.

Dan kemudian, timbul isu

- air Khodafi
- air tabarruk celup rambut nabi
- serunding hafaz 30 juzuk
- sabun susu kambing 30 juzuk
- minyak penaik seri muka Anugerah

Wahai...

Apakah agama kamu sekadar agama magis-magis malah bukan agama yang menganjurkan ilmu dan kajian ilmiah? 
Kenapa hendak sebarkan cerita keajaiban atau kepelikan yang berlaku atas nama Islam untuk menyebarkan Islam?
Tidak bolehkah kita berhujah dengan ilmu dan fakta untuk menyebarkan Islam?

Eh sekejap ini sudah lari sedikit.

Sebenarnya...
Apakah begitu murah agama di mata kalian, sehingga kalian tergamak mempergunakan nama agama untuk mempromosikan, melariskan, menggoreng pisang panaskan produk kamu?

Apakah tidak kamu nyatakan saja khasiat produk kamu secara kimianya? Terangkan bahan-bahan yang diguna, nyatakan betapa berkhasiatnya produk kamu dari segi keorganikannya, kajian yang telah kamu lakukan. Kenapa begitu hendak bergentung kepada 30 juzuk?

Soal tabarruk, tidak kisahlah kamu mahu bertabarruk atau tidak, kenapa hendak menjual air tabarruk?

Kenapa kalian lebih terlalu berlumba-lumba dalam memperoleh produk yang dihafaz, kenapa kamu hendak mencapai kealiman dalam beragama dengan tabarruk, walhal al-Quran sendiri sedikit benar yang kamu ambil pengajaran.

Apakah kamu mementingkan 30 juzuk produk daripada kamu sendiri meneliti dan mendalami al Quran sehingga habis 30 juzuknya?

Pandangan aku begini, tak salah nak mencintai Nabi s.a.w., tapi aku juga khuatir jika sampai satu tahap, terjadi pendewaan. Agama lain sudah menyatakan Nabi s.a.w. sebagai pengasas Islam, apakah akan terbit hujah orientalis bahawa Nabi s.a.w. pernah mengaku dirinya Tuhan pula semata-mata ketaksuban terhadap tubuh Nabi s.a.w. sendiri berbanding sunnah yang sebenarnya? Membantu golongan merempat di jalanan, menjaga akhlak?

Yang aku lihat, mereka ini, walau tidak semua, mengaku cintakan Nabi s.a.w. sepenuh hati, tetapi mulut mereka mengeji dan mengutarakan perkataan-perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut pencinta nabi s.a.w. dan pelantun qasidah. Malah, mereka, sukar sekali dilihat untuk mendekati yang gila sasau termenung di jalanan, menyantuni gelandangan, berkutip wang untuk disumbang kepada orang miskin.

Ada aku dengar, mubaligh Kristian menyantuni pesakit-pesakit yang sudah makin hampir ajalnya, yang sakit tenat, semakin doktor menyatakan sudah putus harapan, maka berhari-hari mereka datang menghulur duit, kata-kata nasihat dan sebagainya. Di Selangor aku dengar, dek bantuan zakat tidak kunjung tiba, maka mubaligh Kristian yang mendermakan sejumlah wang untuk anak - anak yatim.

Sakit hati. Aku tidak sakit hati kepada agama. Tetapi sakit hati kepada yang merasa membawa imej agama, mengaku cinta Nabi s.a.w., melantun qasidah tetapi tidak menyantuni yang sakit, yang memerlukan kata-kata semangat bahawa Tuhannya, bukan Tuhan orang Kristian, sangat menyayanginya dan akan mengampuninya. Berkajang-kajang kertas kamu utarakan tentang sahih hadis Bukhari terhadap tabarruk, sebagai sunnah. Tetapi kamu lepas pandang akan sunnah yang lebih membuatkan orang tertarik dengan Islam. Aku hendak katakan ini sebagai sunnah yang utama, tetapi bukan maksud aku bahawa sunnah lain itu tidak penting. Bukan.

Sudahlah begitu, apabila kamu dikritik, kamu ungkit-ungkit keburukan silam pengkritik. Seksi, tayang body, belajar degree, bertabarruj, Slim World, dapat dari mana bidang apa, malah kamu labelkan Wahhabi. Sedangkan kebanyakan yang mengkritik bukan Wahhabi. Malah kata-kata kamu lebih kesat dari muka aku. Jika jiwa-jiwa kehilangan yang hendak merapati Islam membaca komen-komen kamu, sudah tentu makin menjarak mereka dengan agama, makin menjauh dari tuhan. Belum dilihat lagi apa reaksi kamu terhadap atheis dan murtad. Apakah kamu akan melabel mereka habis-habisan? Bukan mencerahkan? Apakah kamu sedar bahawa kebanyakan masyarakat Barat yang menjadi atheis datangnya dari keluarga yang kuat pegangan agamanya? Apakah tidak kamu lihat trend murtad dan atheis di negara ini juga seperti di Barat?

*anggaplah muka John Abraham ini sebagai muka yang mengalami frustasi agama


Terlalu banyak jiwa yang semakin kecewa dengan agama dan merajuk dan bertanya di mana Tuhan, salah sangka terhadap Tuhan, dan menjadi keliru kepada siapa yang hendak dibenci, yang membawa lantera agama atau agama, lalu mereka memutuskan, men 'generalise' kan untuk membenci agama dan menyatakan Tuhan tidak wujud, sedang kamu masih asyik berbantah-bantahan, melabelkan orang yang tidak sepemikiran dengan kamu dengan apa jua label jahat dan keji yang terlintas di kepala kamu. Dunia kini...
Tenat.

*krik krik bunyi cengkerik


Comments

Post a Comment