Sayangkah Kita Kepada Agama?


Sekarang ini, bolehlah dikatakan kita semua berkongsi ketakutan yang sama. Hampir saban hari, berita di kaca televisyen, di dada akhbar, semuanya berkisar tentang gejala pemesongan akidah, murtad sana sini. Dan kita, tak payah tanya siapa-siapa sudah tahu siapa dalang di sebaliknya.

Siapa lagi kalau bukan orang Yahudi? Sentiasa ada agenda jahat nak menjatuhkan Islam.

Siapa lagi kalau bukan orientalis Barat? Orang Barat memang tak pernah bersetuju kalau Islam menang lagi.

Siapa lagi kalau bukan orang Kristian? Banyak yang murtad masuk Kristian. Kita semua pernah dengar agenda pihak teratas yang membayar ribuan wang ringgit sekiranya berhasil bawa masuk sekian-sekian ahli keluarga masuk Kristian. Entah berapa tahun kita tahu, hadam dalam kepala.

Bila anak muda terkinja-kinja, ada yang murtad, rapuh akidah, hukum fikah rabun-rabun, kita dimomokkan dengan agenda Yahudi, agenda Kristian yang makin berhasil terhadap anak muda kita. Semua diajar jangan berapa nak bagi muka kepada agama lain, tambah-tambah lagi Kristian, ada agenda besar, nak jadikan negara ini bukan negara Islam. Semua takut dengan mubaligh Kristian, semua takut Holy Water, semua gerun ada yang benci dengar nama IFC.

Dan bila ada saudara baru masuk Islam, kita semua bersyukur. Tapi sebenarnya, apa hak kita untuk bersyukur? Apakah kita layak? Apakah kita ada membantu dalam usaha nak mengenalkan saudara baru kepada Islam? Adakah sekadar kita solat Jumaat, pakai tudung, puasa sebagai usaha kita? Bagaimana dengan prejudis terhadap agama lain?

Kenapa apabila anak muda yang rosak akidah, agama lain yang dituduh? Apakah tidak kita lihat, mengkoreksi tindakan kita selama ini?

Kita takut agenda itu ini, tapi kita sendiri suka dengar tengok rancangan hiburan (dan tukang tulis juga sudah semestinya), bila heboh khabar agenda itu ini, kita jadi kalut, kita jadi panik, kita cuba sebaik mungkin untuk memelihara akidah, isu Bible dalam Bahasa Melayu, isu masjid, isu azan, semua isu habis kita tackle.

Akan terdirikah Islam, akan termurnikah Islam dengan drama-drama Korea, cerekarama, Akasia, Glee memenuhi kaca televisyen, konsert, kelab malam, parti, dan cuma sebentar-dua bentar isu kalimah Allah dalam Bible dan sekelompok orang yang berdemo dan memasang kain rentang jangan jual kalimah Allah?

Adakah setakat itu? Adakah kita benar-benar nak memurnikan Islam? Begitukah cara nak memurnikan Islam? Dengan menanam prejudis terhadap agama lain? Memacakkan akidah anak muda dengan tidak menjual kalimah Allah?

Adakah murni akidah anak muda sekiranya rancangan televisyen kita, majoritinya hiburan? Dan panel-panel yang dijemput dalam sesi agama juga, seolah-olah seronok menambahkan kekeliruan dalam agama? Jiwa-jiwa yang masih melekat kepada Islam, hendak menjauh kembali daripada Islam setelah menonton rancangan agama sekian-sekian di televisyen, setelah membaca ruangan panelis sekian-sekian di akhbar, di Internet...



Cuba baca luahan jiwa yang kacau, yang hendak mendalami agama, tetapi menjauh kerana tindakan orang yang tahu serba sedikit tentang agama. Bagaimana hendak melihat melihat murninya agama jika agama hanya berkisar tentang fatwa poco-poco, fatwa itu ini, bukan sesuatu yang tampak memudahkan di mata mereka-mereka yang hendak lebih mendalami agama? Sikit-sikit haram, sikit-sikit haram, itu haram, ini haram...

Sekarang kita ada dua konteks dalam masalah beragama. Yang tahu serba-serbi sedikit tentang agama, memutarkan persoalan tentang perkara-perkara yang tidak berapa jelas kepentingannya, petua itu ini, ubat mujarab, fatwa haram, menghukumkan orang sesuka hati, menegur dengan sindiran-sindiran malah secara public, tak kisahlah depan khalayak ramai mahupun di komen gambar di Facebook, yang seakan menyulitkan lagi jiwa-jiwa yang meronta yang hendak mendalami agama. Maka bertambahlah lagi kebencian mereka-mereka ini terhadap agama.

Terdapat suatu tweet balas terhadap suatu tweet yang menyatakan hukum haram,

“Bagi kau semua haram, £$%^&*( laa!!!”

Apakah Islam cuma sekadar hukum haram halal? Daripada menyempitkan agama, kenapa tidak menunjukkan agama sebagai sesuatu yang mudah dan bukannya bersikap keras dan seolah-olah tiada keampunan untuk mereka?

Dan yang satu lagi, terasa hidup sudah lengkap dengan bersolat, buat perkara yang asas, pertahan kalimah Allah, tetapi kekal memilih untuk menikmati hidup dengan hiburan, buat biasa-biasa saja, jangan terlalu ekstrem dalam beragama kata mereka, keikhlasan hati yang penting. Usah pakai tudung kerana yang penting itu kemurnian hati. Yang sebenarnya tidak berapa sedar, dalam hendak menjaga akidah, bila datang trend terbaru datang suatu bulan baru, maka trending topics penuh dengan Please January be nice to me. Ada terbaca dalam suatu tweet, seorang yang biasa-biasa dalam beragama, Arjujumand namanya. Tweet dia gila-gila. Tak penuh pasal hukum itu ini, nasihat yang penuh mengajak kepada agama. Sekadar obrolan biasa dengan kawan-kawan alam maya. Suatu hari ada satu tweet dia yang boleh menyentak hati-hati yang merasa agama aku dah okay, akidah aku okay. Dia mengulas perihal trending topic Please bulan sekian-sekian be nice to me, yang kebanyakan orang cerdik pandai agama, yang sibuk dengan urusan agama terlepas pandang, sebab sibuk berhukum haram-haram...dengan

“Daripada sibuk minta January February please be nice to me, lebih baik minta dekat Tuhan kan?”

Terpana sebentar. Akidah nak kena post-mortem, sebab terasa gatal tangan nak tulis macam tu. Baru saja dalam hati berangan-angan hendak tweet begitu, nak ikut trend, tiba-tiba terkesima. Terasa macam dah elok akidah diri ini, sebab dah solat dah puasa, apa lagi, kan? Tetapi kenapa hal semudah ini, kita tak terasa akidah kita nyaris tergelincir? Kenapa mahu minta kepada bulan sekian-sekian? Januari bukannya hidup pun. Malah berhala pun bukan. Bukan patung sembahan. Kenapa minta Januari untuk be nice to me? Apa kuasa bulan-bulan Gregorian untuk memudahkan urusan hidup? Siapa yang mengaturkan bulan sekian-sekian untuk be nice kepada kita? Ke mana kita campak kalimah syahadah kita? Ke mana?

Belum kira lagi bila nak tulis biodata diri sendiri, tulis bintang sekian-sekian, Gemini, Sagittarius, Cancer, Libra...

Benarkah kita serius dalam menjaga akidah? apakah benar kita memang membantu menegakkan dan memurnikan agama kita? Apakah salah yang menyebabkan Islam semakin lemah semuanya terletak atas agenda Kristian itu ini, agenda Yahudi, tangan-tangan halus konspirator? Sampai bila hendak menuding jari?

Satu tweet dari seorang atheis Eropah, untuk renungan, mungkin boleh jadi quote untuk hari ini. Kepada dua perkara yang diutarakan tadi. Yang biasa-biasa dalam beragama dengan yang terlalu serius.

Ernest Phlegmingway – Nothing has driven me far from religion than the religious.

Comments