Kelabuhan

Tahukah kamu,
kami yang lemah di sekeliling kamu ini,
sentiasa mencari contoh untuk diikuti,
dalam dada kami ini,
melonjak-lonjak keinginan untuk berbuat baik,
cuma kami segan,
mungkin tunggu diajak

Tahukah kamu,
kami memandang tinggi akan perlakuan kamu,
malah kami mengharapkan kamu untuk mengubah masyarakat yang semakin pudar,
pudar kemanusiaanya,
kami sentiasa memerhati kamu,
dan apabila kamu mengajak kami mengikutimu,
sungguhlah seronok rasa hati,
kerana, kamu tidak menyisihkan kami,
kamu juga ingin ke syurga bersama kami,
kami tahu kamu tidak mementingkan diri

Namun,
tahukah kamu,
dengan kelabuhan kamu,
dengan harapan kami yang tinggi menggunung,
maka tolonglah, tolonglah pelihara akhlakmu,
peliharalah dirimu dari ikhtilat,
sungguh, wahai kamu,
amal buruk walau disembunyikan,
lama-lama tertakdir akan kelihatan jua

Maka, setelah kami mengetahui kepura-puraan kamu,
ketidak elokan kamu yang didiamkan,
bagaimanalah hendak kami menghormati,
bagaimanalah hendak kami mengikuti,
jika akhlakmu sebegitu,
melabelkan orang sesuka hati,
terjun ke dalam kesimpulan,
berikhtilat dalam diam

Sepatutnya kamu,
kamu sedar mengenai tudung yang menjaga,
semakin panjang meternya,
semakin banyak keterbatasan yang perlu kamu jaga,
pendamkan fitrah hati itu,
mata-mata yang tersembunyi banyak yang mengagumimu dalam diam,
maka apabila kekaguman itu sirna,
sirna akibat ketidak elokan akhlak,
bagaimanakah boleh kamu pinta kami untuk berubah?

Berhentilah menyalahi,
renungkanlah apa perbuatan diri sebelum ini,
mungkin salah kami kerana terlalu mengharap,
mungkin salah kami kerana terlalu mengagumi,
namun, 
itulah antara perkara yang akan membaikkan kamu

 http://panduanislam.com/blog/wp-content/uploads/2012/06/tudung-labuh.jpg
panduanislam.com

Tanamlah dalam hati,
perkara yang tidak mahu kamu zahirkan itu,
seeloknya jangan dibuat langsung,
untuk apa melindunginya dari kami,
sedang ada Dia yang Memerhati,
tahukah kamu,
walau ditudung perbuatan itu, 
walau kamu seorang yang mengetahui,
namun pasti,
kami, dan orang sekeliling yang berharap kepadamu,
akan mengetahui

Maka,
janganlah cepat marah,
apabila sasaranmu tidak menjadi,
malah semakin jauh dari dipeluk manja nur,
jika kamu sendiri,
yang kelabuhan,
tidak menjaga,
dan berpura-pura 

Comments