bangga dengan kawan-kawanku

Baca Yasin setiap pagi rahsia kejayaan

KEPALA BATAS 11 Mac - Amalan membaca surah Yasin setiap pagi menjadi rahsia kejayaan Muhammad Harith Mohd. Fauzi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad itu berjaya memperolehi 11A iaitu 9A+ dan 2A serta diumumkan pelajar terbaik sekolah tersebut hari ini.

Harith, 18, kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Kimia peringkat asas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan bercita-cita menjadi seorang jurutera.

Menurut anak kepada pasangan jurutera dan guru itu, beliau mahu kejayaan yang dicapai dalam SPM menjadi teladan kepada lima adiknya yang lain.

"Tiada sebarang perkara istimewa dalam belajar yang diamalkan tetapi harus pandai membahagikan masa antara pelajaran, bermain dan berhibur.

"Saya juga sentiasa membuat latihan latih tubi selain perlu menghormati guru yang mengajar di sekolah," katanya yang berasal dari Taman Bertam Indah dekat sini.

Bagi Muna Liyana Muzamil, belajar secara berkumpulan di asrama membolehkan beliau memperolehi keputusan yang di luar jangkaan iaitu 12A (7A+, 2A, 3A-).

"Saya bercita-cita nak jadi doktor, jadi dengan keputusan yang dicapai ini saya berharap dapat menyambung pelajaran ke universiti di Mesir.

"Saya hadiahkan kejayaan hari ini kepada bapa yang bertugas sebagai anggota polis dan ibu yang bertugas sebagai guru," katanya.

Sementara itu bagi Zulkifli Ahmad, sebagai anak bongsu daripada lapan beradik, dia ingin mengikut jejak langkah kakaknya ke menara gading.

"Keputusan 11A ini iaitu 8A+, 1A dan 2A- amat membanggakan saya biarpun ia tidak dapat dikongsi dengan bapa saya yang meninggal dunia enam tahun lalu.

"Saya berharap agar dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang kejuruteraan demi memenuhi cita-cita saya," katanya.

Dalam pada itu Pengetua SMKA Al-Irshad, Salmah Ishak menjelaskan, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pelajarnya kerana ia meningkat berbanding tahun lalu.

"Semua subjek yang diambil lulus 100 peratus tahun ini dengan nilai gred purata meningkat daripada 2.56 pada 2009 kepada 2.51 pada tahun ini," katanya.


semuanya berkisar tentang usaha mereka selama ini. berusaha untuk mencari guru, kejar sampai dapat, sentiasa melunaskan kerja sekolah sebelum diminta guru, atau beberapa waktu sebelum deadline. begitulah. sepertiku??

aku juga berbangga, kerana untuk subjek agama dan bahasa elok sahaja ku peroleh. mulanya sewaktu menerima slip keputusan, hati menjerit minta spm sekali lagi. sungguh aku benar-benar tidak puas hati dengan apa yang aku terima. dibandingkan dengan teman-teman, subjek mereka sedikit, namun cuma satu sahaja yang terkantoi. malu benar, aku yang sepatutnya berbangga dengan keputusan yang banyak kerana mengambil subjek lebih daripada mereka (haha, sebab nak tayang slip kat diorang je) hanya boleh menerimanya saja.

teringat kata ibu kepada hakim, adik bongsuku..

matematik hang kena pulun lebih, jangan jadi macam alang....

aduh, malu sungguh muka ini. hendak diletak di mana tak tahu. meski aku memohon untuk matrikulasi, namun entah apa kurasakan samar-samar saja. mahu memohon untuk medic, kerana pernah ibu menyatakan hasratnya waktu kecil ingin menjadi doktor, namun tak kesampaian. hanya menjadi guru pbsm sahaja. jadi apa salahnya aku pula menjadi penerus cita-cita ibu pula?? meski kental, namun aku harap aku tak mudah mengalah. masih ada cahaya untuk medic, namun tak tahulah lagi. seandainya aku tak usaha untuk membuat permohonan, bagaimana hendak melepasi pengajian doktor? ya kan??

aku bukan budak yang pandai, terus terang ku katakan. meski ada yang memuji dengan keputusan yang tak melepasi target itu, aku tahu itu bukan atas usahaku. aku yang belajar selama ini, hanya aku yang tahu rentak gaya pembelajaranku di sekolah, mana mungkin aku boleh dapat keputusan sebegini. aku tahu tunjang besar di sebalik keputusan ini adalah ibuku. dia yang berdoa siang malam dengan penuh ikhlas.

aku pula?? bila dirasakan hendak sahaja baru aku termengah-mengah membuka buku. doa sahaja (terus terang kukatakan) sekejap menjadi panjang, sekejap pendek akibat mengejar masa. ikhlaskah aku dengan doa yang sekejap pendek panjangnya??

bagiku tidak. jika ditambah usahaka kuatku pasti aku beroleh dan melepasi targetku.
hendak meraung juga tak guna, namun ku katakan saja dalam hati, spm bukan penamat segalanya. benar kata seorang senior,

alah, spm ja. bukan nak mati pon...

benar juga. jikalau dapat aku akan keputusan yang sangat membanggakan itu, entah-entah jadi cerewet dengan kerjaya, hidungku juga kembang kuncup untuk sebulan, dan tidak mahu bertegur dengan orang yang kurasakan tidak sebanding denganku.. (haha)

mungkin ada hikmahnya. mungkin tuhan mahu aku belajar apa itu hidup yang sebenarnya, bukan setakat menyelak helaian kertas untuk belajar tetapi juga melihat penghidupan itu sebagai satu pelajaran yang menjadikan kita bijak pandai yang sebenar, bukan setakat ilmu dunia sahaja.

Comments