Sekarang ini, bolehlah dikatakan kita semua
berkongsi ketakutan yang sama. Hampir saban hari, berita di kaca televisyen, di
dada akhbar, semuanya berkisar tentang gejala pemesongan akidah, murtad sana
sini. Dan kita, tak payah tanya siapa-siapa sudah tahu siapa dalang di
sebaliknya.
Siapa lagi kalau bukan orang Yahudi?
Sentiasa ada agenda jahat nak menjatuhkan Islam.
Siapa lagi kalau bukan orientalis Barat?
Orang Barat memang tak pernah bersetuju kalau Islam menang lagi.
Siapa lagi kalau bukan orang Kristian?
Banyak yang murtad masuk Kristian. Kita semua pernah dengar agenda pihak
teratas yang membayar ribuan wang ringgit sekiranya berhasil bawa masuk
sekian-sekian ahli keluarga masuk Kristian. Entah berapa tahun kita tahu, hadam
dalam kepala.
Bila anak muda terkinja-kinja, ada yang
murtad, rapuh akidah, hukum fikah rabun-rabun, kita dimomokkan dengan agenda
Yahudi, agenda Kristian yang makin berhasil terhadap anak muda kita. Semua
diajar jangan berapa nak bagi muka kepada agama lain, tambah-tambah lagi Kristian,
ada agenda besar, nak jadikan negara ini bukan negara Islam. Semua takut dengan
mubaligh Kristian, semua takut Holy Water, semua gerun ada yang benci dengar
nama IFC.
Dan bila ada saudara baru masuk Islam, kita
semua bersyukur. Tapi sebenarnya, apa hak kita untuk bersyukur? Apakah kita
layak? Apakah kita ada membantu dalam usaha nak mengenalkan saudara baru kepada
Islam? Adakah sekadar kita solat Jumaat, pakai tudung, puasa sebagai usaha
kita? Bagaimana dengan prejudis terhadap agama lain?
Kenapa apabila anak muda yang rosak akidah,
agama lain yang dituduh? Apakah tidak kita lihat, mengkoreksi tindakan kita
selama ini?
Kita takut agenda itu ini, tapi kita
sendiri suka dengar tengok rancangan hiburan (dan tukang tulis juga sudah
semestinya), bila heboh khabar agenda itu ini, kita jadi kalut, kita jadi
panik, kita cuba sebaik mungkin untuk memelihara akidah, isu Bible dalam Bahasa
Melayu, isu masjid, isu azan, semua isu habis kita tackle.
Akan terdirikah Islam, akan termurnikah
Islam dengan drama-drama Korea, cerekarama, Akasia, Glee memenuhi kaca
televisyen, konsert, kelab malam, parti, dan cuma sebentar-dua bentar isu
kalimah Allah dalam Bible dan sekelompok orang yang berdemo dan memasang kain
rentang jangan jual kalimah Allah?
Adakah setakat itu? Adakah kita benar-benar
nak memurnikan Islam? Begitukah cara nak memurnikan Islam? Dengan menanam
prejudis terhadap agama lain? Memacakkan akidah anak muda dengan tidak menjual
kalimah Allah?
Adakah murni akidah anak muda sekiranya
rancangan televisyen kita, majoritinya hiburan? Dan panel-panel yang dijemput
dalam sesi agama juga, seolah-olah seronok menambahkan kekeliruan dalam agama?
Jiwa-jiwa yang masih melekat kepada Islam, hendak menjauh kembali daripada
Islam setelah menonton rancangan agama sekian-sekian di televisyen, setelah
membaca ruangan panelis sekian-sekian di akhbar, di Internet...

Cuba baca luahan jiwa yang kacau, yang
hendak mendalami agama, tetapi menjauh kerana tindakan orang yang tahu serba
sedikit tentang agama. Bagaimana hendak melihat melihat murninya agama jika
agama hanya berkisar tentang fatwa poco-poco, fatwa itu ini, bukan sesuatu yang
tampak memudahkan di mata mereka-mereka yang hendak lebih mendalami agama?
Sikit-sikit haram, sikit-sikit haram, itu haram, ini haram...
Sekarang kita ada dua konteks dalam masalah
beragama. Yang tahu serba-serbi sedikit tentang agama, memutarkan persoalan
tentang perkara-perkara yang tidak berapa jelas kepentingannya, petua itu ini,
ubat mujarab, fatwa haram, menghukumkan orang sesuka hati, menegur dengan
sindiran-sindiran malah secara public, tak kisahlah depan khalayak ramai
mahupun di komen gambar di Facebook, yang seakan menyulitkan lagi jiwa-jiwa
yang meronta yang hendak mendalami agama. Maka bertambahlah lagi kebencian
mereka-mereka ini terhadap agama.
Terdapat suatu tweet balas terhadap suatu
tweet yang menyatakan hukum haram,
“Bagi kau semua haram, £$%^&*( laa!!!”
Apakah Islam cuma sekadar hukum haram
halal? Daripada menyempitkan agama, kenapa tidak menunjukkan agama sebagai
sesuatu yang mudah dan bukannya bersikap keras dan seolah-olah tiada keampunan
untuk mereka?
Dan yang satu lagi, terasa hidup sudah
lengkap dengan bersolat, buat perkara yang asas, pertahan kalimah Allah, tetapi
kekal memilih untuk menikmati hidup dengan hiburan, buat biasa-biasa saja,
jangan terlalu ekstrem dalam beragama kata mereka, keikhlasan hati yang
penting. Usah pakai tudung kerana yang penting itu kemurnian hati. Yang
sebenarnya tidak berapa sedar, dalam hendak menjaga akidah, bila datang trend
terbaru datang suatu bulan baru, maka trending topics penuh dengan Please
January be nice to me. Ada terbaca dalam suatu tweet, seorang yang biasa-biasa
dalam beragama, Arjujumand namanya. Tweet dia gila-gila. Tak penuh pasal hukum
itu ini, nasihat yang penuh mengajak kepada agama. Sekadar obrolan biasa dengan
kawan-kawan alam maya. Suatu hari ada satu tweet dia yang boleh menyentak
hati-hati yang merasa agama aku dah okay, akidah aku okay. Dia mengulas perihal
trending topic Please bulan sekian-sekian be nice to me, yang kebanyakan orang
cerdik pandai agama, yang sibuk dengan urusan agama terlepas pandang, sebab
sibuk berhukum haram-haram...dengan
“Daripada sibuk minta January February
please be nice to me, lebih baik minta dekat Tuhan kan?”
Terpana sebentar. Akidah nak kena post-mortem,
sebab terasa gatal tangan nak tulis macam tu. Baru saja dalam hati
berangan-angan hendak tweet begitu, nak ikut trend, tiba-tiba terkesima. Terasa
macam dah elok akidah diri ini, sebab dah solat dah puasa, apa lagi, kan?
Tetapi kenapa hal semudah ini, kita tak terasa akidah kita nyaris tergelincir?
Kenapa mahu minta kepada bulan sekian-sekian? Januari bukannya hidup pun. Malah
berhala pun bukan. Bukan patung sembahan. Kenapa minta Januari untuk be nice to
me? Apa kuasa bulan-bulan Gregorian untuk memudahkan urusan hidup? Siapa yang
mengaturkan bulan sekian-sekian untuk be nice kepada kita? Ke mana kita campak
kalimah syahadah kita? Ke mana?
Belum kira lagi bila nak tulis biodata diri
sendiri, tulis bintang sekian-sekian, Gemini, Sagittarius, Cancer, Libra...
Benarkah kita serius dalam menjaga akidah?
apakah benar kita memang membantu menegakkan dan memurnikan agama kita? Apakah
salah yang menyebabkan Islam semakin lemah semuanya terletak atas agenda
Kristian itu ini, agenda Yahudi, tangan-tangan halus konspirator? Sampai bila
hendak menuding jari?
Satu tweet dari seorang atheis Eropah,
untuk renungan, mungkin boleh jadi quote untuk hari ini. Kepada dua perkara
yang diutarakan tadi. Yang biasa-biasa dalam beragama dengan yang terlalu
serius.
Ernest Phlegmingway – Nothing has driven me
far from religion than the religious.
Comments
Post a Comment