Harta Pusaka Itu Cepat Punah

Orang yang lemah imannya dan tipis akidahnya tentulah tidak betah memegang hukum Allah, terutama dalam hal-hal yang dirasakan tidak menguntungkannya. Bila cara pembahagian harta pusaka menurut faraid itu menguntungkannya, kerana ia sebagai anak lelaki , dia pun menghendaki pembahagian harta pusaka cara Islam. Tetapi apabila dia seorang anak perempuan, dia akan meminta pembahagian dengan cara hukum adat sahaja. Dengan demikian segala sesuatu itu diukur menurut kepentingan duniawi.

Terdapat orang yang berusaha untuk mendapatkan harta pusaka melalui jalan yang salah. Pokoknya harta itu dapat dimiliki, walau bagaimanapun caranya, asalkan harta itu beroleh ke tangan mereka. Sesungguhnya perbuatan ini adalah suatu perlanggaran atas hukum Allah, yakni mendapatkan harta dengan cara yang tidak halal.

Mendapatkan khidmat guaman untuk memperihalkan urusan harta pusaka atau lainnya dengan harapan ia dapat memenangi hak tersebut, padahal dia tahu bahawa kehendaknya itu bertentangan dengan kehendak agama, dia termasuk dalam golongan orang yang berusaha untuk mendapatkan harta dengan cara yang tidak halal.

Sebagai contoh, di antara ahli waris, umpamanya anak lelaki atau anak perempuan yang sedang bersengketa dalam soal harta pusaka. Pihak lelaki menghendaki agar pembahagian harta pusaka diatur menurut hukum Islam, tetapi pihak perempuan meminta agar pengurusan harta diatur mengikut hukum adat. Setelah tidak ada jalan penyelesaian, maka pihak perempuan meminta pihak perundangan negeri yang tentu sahaja ( pada kebiasaannya ) akan memenangkan pihak perempuan.

Dalam perbalahan mendapatkan harta pusaka, terkadang orang sampai bertengkar, kerana adanya pihak yang merasa kemenangan di pihaknya atau merasa paling tua kemudian berhasrat untuk mengambil bahagian yang paling banyak. Terkadang juga orang yang meninggal dunia baru sahaja sampai di liang lahad, yang mengebumikan jenazah baru sahaja sampai di liang kuburan, di rumah sudah berlaku perbalahan berebut harta peninggalan. Tentu sahaja hal ini berlaku kerana ada pihak yang akan merasa rugi kerana ada pihak yang tidak adil dalam membuat keputusan. Andaikata semua pihak berada di atas hukum Allah, tentunya tidak akan terjadi pertelingkahan soal harta pusaka.

Harta pusaka telah dianggap sebagai harta karun dan barang yang diperoleh tanpa memerah keringat, maka ada pihak yang mencari saat-saat yang baik untuk merebutnya.

Padahal bagi hukum Allah dan hukum keadilan, doa orang yang teraniaya didengari Allah malahan cepat dimakbulkan. Dalam masalah pembahagian harta pusaka, terkadang ada pihak yang tidak memperoleh bahagiannya. Orang inilah yang bermunajat mengadukan perkara dan nasibnya kepada Allah. Dan Allah Maha Pengasih dan Pemurah ke atas hamba-Nya terutama yang teraniaya.

Comments